Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil menawarkan pasukan guaman tambahan secara percuma dan menaja ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menunaikan umrah sebagai sokongan moral kepada keluarga mangsa.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, langkah itu diambil bagi membantu keluarga mendapatkan keadilan sepenuhnya berhubung kematian pelajar sekolah agama di Papar, Sabah yang disifatkan mencurigakan.
“Meskipun saya bukan ahli keluarga arwah, kehilangan ini terasa amat dekat kerana saya sendiri mempunyai anak perempuan bongsu seusia arwah.
“Tidak ada ibu bapa yang sanggup menerima pemergian anak tanpa jawapan dan tanpa keadilan,” katanya pada sidang akhbar di Istana Negara di sini, hari ini.
Zulkarnain berkata, beliau juga telah menghubungi ibu arwah melalui mesej telefon dan merasai kesedihan serta tekanan yang dialami wanita berkenaan.
“Rakaman suara arwah yang tular sebelum pemergiannya jelas menunjukkan ketakutan dan tekanan yang dihadapinya,” ujarnya.
Terdahulu, Zulkarnain menyerahkan memorandum rayuan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara bagi menggesa prosiding inkues terbuka diadakan untuk menyiasat punca kematian Zara Qairina.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan pelaku terlibat tidak akan dilindungi, sambil menegaskan komitmen itu penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Menurutnya, meskipun siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, pendedahan yang lebih telus kepada umum perlu dibuat.
“Campur tangan Raja-Raja Melayu untuk memperkenankan prosiding inkues terbuka sangat penting bagi memastikan keadilan sebenar dapat ditegakkan,” katanya.
G57 juga memaklumkan memorandum sama akan dihantar kepada Sultan Pahang, Sultan Perak dan seluruh Raja-Raja Melayu agar perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Beliau berharap seluruh rakyat Malaysia bersatu memperjuangkan keadilan buat Zara Qairina sehingga kes ini mendapat pembelaan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE
The post G57 taja ibu Zara Qairina tunai umrah, tawar peguam percuma appeared first on Kosmo Digital.