Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Penduduk Flat Taman Setia Jaya, di sini cemas apabila lapan unit rumah di tingkat empat bangunan tersebut terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1.20 tengah hari itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut Ketua Majlis Ketua Kampung Alor Sekamat, Ramlah Bibi Abdur Rajiman, kejadian berlaku ketika dia sedang menunaikan solat zuhur.
“Saya dengar orang jerit panggil nama saya dan beritahu ada rumah terbakar. Sebaik selesai solat, saya terus berlari ke lokasi kebakaran dan dengar bunyi meletup.
“Waktu itu api sedang marak dalam salah sebuah rumah di tingkat paling atas. Ramai yang menghubungi bomba untuk melaporkan kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kesemua lapan unit di tingkat atas itu tidak berpenghuni.
“Rumah-rumah kosong ini kadang kala dimasuki penagih, selain banyak sampah dan bahan buangan di situ,” ujarnya.
Tambahnya, kira-kira 50 penghuni unit rumah di tingkat bawah bertindak keluar dari rumah masing-masing selepas menyedari kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.21 tengah hari.
“Kebakaran melibatkan lapan unit rumah terletak sederet di tingkat empat dan kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya.
Tambahnya, punca kejadian dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Jeritan kejutkan penduduk, 8 rumah flat terbakar appeared first on Kosmo Digital.