Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kumpulan Farm Fresh Berhad dan Alpha Group Kemboja telah menjalinkan kerjasama dengan Pentadbiran Wilayah Pursat dan Sonavith Co., Ltd. melalui pemeteraian perjanjian pajakan tanah untuk projek pelaburan penternakan tenusu dikenali Farm Fresh Pursat.
Projek yang berpangkalan di daerah Veal Veng dan wilayah Pursat, Kemboja itu akan merangkumi kira-kira 1,000 hektar, dengan pelaburan sebanyak $68 juta (RM288 juta).
Ia akan memberi tumpuan kepada penubuhan ladang tenusu bertaraf antarabangsa dan pembinaan kilang pemprosesan susu tempatan untuk mengukuhkan rantaian pengeluaran tenusu Kemboja, mengurangkan import dan meningkatkan kapasiti negara untuk membekalkan pasaran domestik dan pasaran eksport masa hadapan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, pihaknya berbangga dapat melabur di wilayah Pursat dan mengalu-alukan insentif dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan.
Menurutnya, kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama di Kemboja itu dijangka dapat membantu menampung jurang susu segar domestik dan menyokong permintaan tempatan yang semakin meningkat, sambil meningkatkan profil wilayah tersebut.
“Projek penternakan tenusu bernilai $68 juta ini bertujuan untuk meningkatkan bekalan susu segar berkualiti tinggi domestik Kemboja dan memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat selaras perjanjian pada akhir Oktober ini untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama negara itu.
“Sebagai sebuah syarikat tenusu terkemuka di Asia Tenggara, pelaburan kami di Pursat akan membantu meningkatkan profil wilayah ini di seluruh Asia Tenggara dan di pentas global,” katanya dalam kenyataan.
Pada 26 Oktober 2025, semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Farm Fresh telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Alpha Group Kemboja untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran dan pemprosesan susu segar berskala besar pertama di negara ini.
Sementara itu, Gabenor Wilayah Pursat, Khoy Rida berkata, pelaburan besar di Pursat dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan menandakan peristiwa penting bersejarah bagi wilayah dan negara.
Sebelum ini, konflik sempadan dengan Thailand mencetuskan krisis bekalan susu dengan negara itu secara tradisinya membekalkan Kemboja dengan lebih daripada 76 peratus daripada import tenusu negara.
Pada Julai 2025, rak pasar raya telah dikosongkan, manakala kedai kopi dan restoran bergelut untuk mendapatkan bekalan susu segar.
Kekurangan itu mempercepatkan rancangan untuk mengembangkan pengeluaran susu segar domestik. -KOSMO! ONLINE
The post Farm Fresh, Alpha Group ceburi projek pelaburan penternakan tenusu bernilai RM288 juta appeared first on Kosmo Digital.
