Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Nepal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dua beranak di kediaman sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, bulan lalu.
Bagaimanapun, prosiding yang dijalankan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit ditangguhkan berikutan tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, hanya memahami bahasa Nepal.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan dan Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk dua pertuduhan membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru di sini, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, pada 18 Oktober lalu.
Kedua-dua kesalahan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang berpakaian biasa tiba di mahkamah pada pukul 9.10 pagi tadi dengan dikawal ketat pasukan polis. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak dibunuh: Tertuduh hanya faham bahasa Nepal, prosiding ditangguh appeared first on Kosmo Digital.