Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Kerjasama negara ASEAN perlu terus diperkukuhkan bagi mengelak berlakunya krisis luar jangka seperti yang melanda dunia ketika ini.
Presiden Perhimpunan Antara Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), Tan Sri Johari Abdul berkata, kerjasama itu perlu memfokuskan kepada generasi muda yang meliputi 40 peratus daripada 700 juta rakyat di rantau ini.
Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, ASEAN perlu bergerak sebagai satu gerombolan yg memahami antara satu sama lain.
“Kalau tiada bekerjasama, maka kita bimbang akan jadi seperti krisis di Timur Tengah, Amerika Syarikat, China, Afrika dan yang terbaru ialah India serta Pakistan.
“Justeru, hubungan yang dibina hampir 60 tahun kena dimantapkan menerusi jalinan psaudaraan terutama masa depan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam bersempena Mesyuarat Konsultatif Ahli Parlimen Muda AIPA yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Tambah Johari, Pengerusi Ahli Parlimen Belia ASEAN (YPA) AIPA, Datuk Mohd. Shahar Abdullah turut akan mengadakan lawatan di seluruh negara ASEAN bagi mempromosikan anak muda dalam Parlimen.
“Kita mahu hubungan itu berterusan dan bukannya hanya setahun sekali. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga dicadang menekankan pengetahuan mengenai ASEAN di seluruh institusi di bawah kelolaannya supaya negara tidak ketandusan bakal pemimpin yang cakna terhadap isu rantau ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Perkukuh hubungan ASEAN elak krisis luar jangka appeared first on Kosmo Digital.