Auto Added by WPeMatico

KUALA NERUS – Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron kesal penganjuran sebuah program motivasi rumah tangga yang didakwa mencemarkan martabat wanita serta tidak selari dengan nilai Islam.
Beliau berkata, pendekatan ditonjolkan dalam program tersebut terlalu fokus kepada unsur negatif dan menyimpang jauh daripada adab serta batasan ditetapkan syariah.
“Saya lihat pendekatannya sangat tidak sesuai dan memalukan, khususnya kepada wanita.
“Ia tidak mencerminkan akhlak Islam dan tidak patut disertai oleh sesiapa yang meletakkan dirinya sebagai mukmin atau mukminah, ” katanya ketika ditemui pada program Terengganu Bertadabbur Siri III di sini hari ini.
Mohamad Sabri berkata, setakat ini, pihak berkuasa agama negeri masih belum dapat memastikan penyertaan program itu dari Terengganu.
Begitupun beliau menasihatkan rakyat negeri ini agar menjauhi program seperti tersebut yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor mengesahkan berlaku adegan bogel dalam program motivasi rumah tangga yang diadakan di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, Shah Alam pada September lalu.
Setakat ini, enam individu termasuk pengasas eHATI ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 akta sama serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – KOSMO! ONLINE
The post Program eHATI cemar martabat wanita – Mufti Terengganu appeared first on Kosmo Digital.