Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Penyelenggaraan infrastruktur awam dan sistem saliran akan terus diberi keutamaan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, aspek itu perlu diberi perhatian serius memandangkan Ampangan merupakan kawasan matang dengan kepadatan penduduk tinggi, selain memastikan isu banjir dialami penduduk tidak berulang.
Beliau berkata, kegagalan menyelenggara longkang dan sistem perparitan dengan baik bukan sahaja boleh menyebabkan air bertakung dan tersumbat, malah berpotensi menimbulkan pelbagai masalah lain termasuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Di Ampangan khususnya, kita mesti menjaga sistem perparitan, longkang dan sungai dengan baik kerana jika tidak diuruskan dengan sempurna, ia boleh menjadi punca musibah banjir.
“Longkang yang tidak diselenggara dengan baik boleh menyebabkan air bertakung dan tersumbat, manakala sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna pula boleh mengakibatkan banjir,” katanya ketika ditemui di Taman Bukti, Ampangan, di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai usaha menangani isu banjir, katanya, PH sebelum ini telah mengenal pasti beberapa punca yang menyumbang kepada kejadian banjir besar pada 2020 dan 2021.
“Antaranya keadaan Sungai Batang Benar yang merentasi DUN Ampangan tidak diselenggara dengan baik termasuk pengumpulan pasir yang menjejaskan kedalaman dan kelebaran sungai serta keadaan tebing.
“Alhamdulillah, isu ini sudah dapat ditangani, penduduk mahu kerja-kerja penyelenggaraan sungai diteruskan secara berkala selain memastikan sistem saliran sentiasa dalam keadaan baik.
“Namun, usaha menangani isu itu berdepan kekangan susulan pertukaran kerajaan pada 2020 yang menjejaskan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Namun, katanya, usaha penyelenggaraan sungai dan sistem saliran akan terus diperkasakan bagi mengurangkan risiko banjir berulang kerana perkara itu memberi kesan secara langsung kepada kualiti hidup rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata, jajaran rekreasi di sepanjang sungai yang sedang dibangunkan menerusi projek kerajaan Persekutuan turut berpotensi dimanfaatkan sebagai ruang riadah dan aktiviti ekonomi komuniti.
“Kita mahu kawasan ini menjadi lokasi masyarakat beriadah, berjoging, berbasikal dan bersantai bersama keluarga.
“Pada masa sama, kita mahu mewujudkan ruang perniagaan kecil seperti gerai makanan dan minuman bagi merancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Kerusi DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Muhammad Nazri dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Rafie Abd. Malek (PN) dan Noor’azah Harun (Bersatu).
Pada PRN 2023, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dari PH menang dengan majoriti 329 undi. -KOSMO! ONLINE
The post Selenggara infrastruktur, sistem saliran elak banjir di Ampangan appeared first on Kosmo Digital.
