Auto Added by WPeMatico

KANGAR – Seorang bekas pengurus syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen Laporan Program Intervensi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan nilai sehingga RM748,000 pada tahun 2015.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), S. Sujatha di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh, A. Christopher, 48, dengan sengaja memalsukan dokumen tersebut antara 21 hingga 29 Disember 2015 di Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan, Universiti Malaysia Perlis, Arau.
Dokumen terbabit mengandungi senarai 113 graduan KPT kononnya diserap bekerja di Orins Group International serta 102 graduan lain yang didakwa ditempatkan di Nuriftitah D&D.
SPRM memohon ikat jamin RM200,000 dengan syarat tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM serta menyerahkan pasport namun peguam K. Hari Krishnan memohon ikat djamin dikurangkan kepada RM5,000 kerana anak guamnya berdepan masalah ekonomi dan kini hanya bekerja sebagai sebagai pemandu e-hailing.
Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Perlis, perlu melapor diri di SPRM Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas pengurus syarikat didakwa palsu dokumen RM748,000 appeared first on Kosmo Digital.