Auto Added by WPeMatico

PUCHONG – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mahu masuk campur berkenaan keputusan melepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM27 juta, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri itu berkata, keputusan tersebut telah dibuat membabitkan institusi kehakiman negara.
“Keputusan dibuat itu adalah soal hakim, itu soal Peguam Negara, saya tidak mahu masuk campur,” kata beliau kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sri Aman, Puchong hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menikmati juadah makan tengah hari di Restoran RT, Puchong dan kemudiannya bersama masyarakat setempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Aman dekat sini.
Sebelum itu, pada pagi tadi, Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur DNAA bekas Perdana Menteri itu daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM27 juta.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Najib atas alasan kes telah berlanjutan begitu lama dan pihak pendakwaan tidak bersedia untuk memulakan perbicaraan dalam masa terdekat.
Sebelum ini pada prosiding terdahulu, pendakwaan memohon tempoh panjang untuk mengesan dan mendapatkan 807 eksibit yang sebelum ini dikemukakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International. – KOSMO! ONLINE.
The post PM tidak mahu campur keputusan DNAA Najib appeared first on Kosmo Digital.