Auto Added by WPeMatico

KLANG – Pasangan suami isteri yang menjadi mangsa dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan dipercayai hanyut ketika bot tersebut ditarik dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Haikal Jammy Ngali berkata, siasatan mendapati bot mangsa telah ditarik bot awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 5 petang semalam.
Insiden bot terbalik itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 petang.
Justeru, kata Haikal, operasi pencarian di permukaan laut akan dilakukan berbanding penyelaman.
“Kita telah melakukan aktiviti selaman dan mengapungkan bot tersebut namun tidak menjumpai dua mangsa yang masih hilang.
“Besar kemungkinan kedua-dua mangsa itu hilang dibawa arus semasa botnya ditarik (dari lokasi kejadian kira-kira 0.3 batu nautika
barat Tanjung Harapan),” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat, Pejabat Maritim Selangor di sini, hari ini.
Haikal turut menolak andaian kedua-dua mangsa berkenaan tercampak ekoran bot tersebut terbalik dengan dua mangsa ditemui di ruang hadapan bot itu.
“Kita sudah tahu lokasi bot itu terbalik dan akan mempergiatkan pencarian di situ,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memaklumkan setakat ini tiada penemuan melibatkan pasangan suami isteri meskipun radius pencarian adalah seluas 5 batu nautika.
“Lokasi telah dikenalpasti dan kebiasaannya mangsa yang telah tenggelam akan timbul selepas 24 jam. Jadi, kami berharap dapat menemuinya segera.
“Dalam pada itu, mayat tiga mangsa termasuk kanak-kanak telah dituntut pihak keluarga selepas bedah siasat dilakukan (di Hospital Shah Alam),” katanya.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat akan dilanjutkan sehingga pukul 7 malam ini.
“Bot ini, kita akan bawa ke pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk dilakukan pemeriksaan dan siasatan lanjut melibatkan aspek teknikal,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati terdapat sebilangan keluarga melakukan upacara keagamaan agar Gan Hon Tat, 32 dan isterinya Careen Man, 29, itu berjaya ditemui pasukan keselamatan. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas bot terbalik: Pasangan suami isteri dipercayai hanyut ketika bot ditarik appeared first on Kosmo Digital.