Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak angkat perempuannya dengan mencekik menggunakan tali pinggang pada September tahun lalu.
Hakim N.Kanageswari menjatuhkan hukuman itu terhadap Salim Abdullah, 46, selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh jatuh hukum hari ini dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjara enam bulan.
Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan diperintah menjalani program khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan selepas bebas dari penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ketika kejadian telah didapati menganiaya dengan cara mencekik leher mangsa menggunakan tali pinggang sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2 petang di sebuah rumah di Bandar Seremban Selatan di sini pada 15 September 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.-KOSMO! ONLINE
The post Pemandu teksi dipenjara tiga bulan, denda RM10,000 cekik anak angkat appeared first on Kosmo Digital.