Auto Added by WPeMatico

GURUN – “Kami hanya mahukan keadilan buat arwah anak, kami tidak mahu berat belah anak kami mahupun berat sebelah sana. Apapun biar sama-sama adil.”
Demikian kata Mohd Roshidi Alias, 44, bapa kepada Allahyarham Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Gurun, di sini hari ini.
Terdahulu, dia hadir pada prosiding pertuduhan anggota polis, Koperal Azhar Mat Saini, 52, yang didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Nur Iman Danial, bulan lalu.
Kata Mohd Roshidi, dia menganggap pertuduhan yang dilakukan ke atas tertuduh sebagai permulaan kepada satu proses keadilan.
“Kes ini mungkin akan ambil masa setahun atau dua tahun, jadi kita minta proses ini telus. Kami akan ikut prosiding kes ini dan bercadang untuk melantik peguam pemerhati bagi pihak keluarga,” katanya.
Sementara itu, ibu arwah, Norliza Mohd Salleh, 44, berkata, dia masih bersedih dengan kehilangan anak bongsu daripada dua beradik itu.
“Saya harapkan keadilan untuk anak saya, saya terlalu sedih kerana anak yang saya sayang hilang sekelip mata dalam kejadian tragis itu,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Ujarnya, dia masih terbayang ketika anaknya dalam keadaan cedera parah dibawa masuk ke unit kecemasan Hospital Yan.
“Saya jururawat di hospital itu dan selepas mendapat berita anak terlibat kemalangan, saya tunggu di pintu wad kecemasan dan sambut sendiri anak.
“Waktu itu anak dah tidak sedarkan diri dan kelihatan kejang sebelum pemeriksaan lanjut mendapati anak mengalami kecederaan serius pada kepala,” ujarnya.
Tambahnya, arwah seorang anak yang baik dan sangat manja dengannya.
Kosmo! pada 1 Ogos lalu melaporkan seorang remaja lelaki yang terlibat nahas jalan raya dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Remaja terbabit dimasukkan ke HSB kerana mengalami kecederaan parah di kepala serta tidak sedarkan diri selepas motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang dirempuh sebuah kereta Perodua Axia.
Pemandu Perodua Axia yang merupakan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Yan didakwa melanggar lampu isyarat merah di simpang empat lampu isyarat Pekan Guar Chempedak. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kami mahukan keadilan buat arwah anak’ appeared first on Kosmo Digital.