Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal meluahkan rasa kecewa apabila anak perempuannya yang juga murid autistik didakwa dihalang daripada hadir ke sekolah tanpa alasan munasabah sejak lebih dua minggu lalu.
Elinoisna Abu, 47, mendakwa anaknya, Solehah Azzahra Nazri, 12, seorang murid cemerlang diarahkan bercuti oleh pihak sekolah di sebuah sekolah rendah kerajaan di Jalan Yahya Awal, di sini.
Menurutnya, Solehah Azzahra pernah menerima Anugerah Olahragawati, Atlit Terbaik Sekolah 2025 dalam acara lumba lari dan lompat jauh serta mewakili sekolah ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) selama dua tahun berturut-turut.
“Arahan itu dikeluarkan sehari selepas kejadian tantrum membabitkan Solehah Azzahra di sebuah kelas Tahun 5 pada 20 November lalu. Saya dimaklumkan anak saya dikatakan mencederakan seorang murid perempuan berusia 11 tahun, namun tiada sebarang bukti atau gambar menunjukkan kecederaan.
“Saya hanya diberitahu pakaian murid itu koyak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Setia Indah, di sini.
Elinoisna berkata, kejadian berlaku akibat tekanan emosi selepas seorang guru memarahi Solehah dalam sesi latihan tarian konvokesyen, menyebabkan anaknya menangis dan melarikan diri ke kelas junior Tahun 5.
“Sepanjang masa itu rakan-rakannya menenangkan Solehah. Mereka turut memegang tangan anak saya ketika dia cuba membaling gunting secara rambang, namun tiada sesiapa yang cedera,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah mengarahkan anaknya bercuti bermula 21 November tanpa memberikan surat rasmi walaupun beliau beberapa kali hadir dan meminta penjelasan.
Pertemuan antara guru, ibu bapa Tahun 5 dan dirinya pada 1 Disember pula bertukar tegang apabila ada ibu bapa mendakwa Solehah membahayakan murid lain.
“Seorang bapa ugut mahu buat laporan polis secara beramai-ramai jika saya masih mahu hantar Solehah ke sekolah. Malah ada ibu yang tetapkan syarat supaya saya perlu mengiringi anak saya sepanjang sesi persekolahan,”katanya yang mengidap kanser payu dara tahap 3.
Jelasnya, tindakan itu amat menekan emosi anak sulungnya itu yang hanya mempunyai beberapa minggu terakhir untuk bersama rakan-rakan sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak perkara tersebut dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) untuk mendapatkan maklumat lanjut.-KOSMO! ONLINE
The post Ibu kesal anak autistik dihalang ke sekolah appeared first on Kosmo Digital.