Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Seorang ibu terpaksa berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah restoran makanan segera sejak tiga bulan lalu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada dua anak masing-masing menghidap kanser pangkal otak dan sumbing selain berlubang pada lelangit.
Nik Nur Atiqah Rusdi, 34, berkata, dia terpaksa membuat keputusan itu biarpun memberi kesan kewangan kepada keluarganya kerana tiada yang dapat menjaga Nur Elyana Umairah Mohd. Khairul Nizam, 8, dan Nur Eleena Huwaina, enam bulan.
Menurutnya, Nur Elyana Umairah disahkan menghidap kanser pangkal otak sejak tiga bulan lalu sehingga menyebabkan dia terlantar dan tidak boleh bercakap sementara Nur Eleena Huwaina dilahirkan sumbing dan berlubang pada lelangit.
“Selepas Nur Elyana Umairah menghidap kanser, saya terpaksa berhenti kerja kerana tiada yang dapat menjaganya. Hasil ujian pengimejan resonans magnet (MRI) mendapati, dia mempunyai ketumbuhan sepanjang tiga sentimeter (cm) pada otaknya.
“Kesihatan Nur Elyana Umairah semakin membimbangkan apabila dia tidak boleh berjalan atau bercakap dan hanya mampu memanggil ‘mama’ sahaja,” katanya di sini kelmarin.
Kata Nik Nur Atiqah, dia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan untuk anaknya termasuk susu khas, lampin pakai buang dan kos perbelanjaan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
“Kami sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan suami sebanyak RM1,700 sebulan sebagai kelindan lori. Jika saya kehabisan wang untuk beli susu Nur Elyana Umairah pada harga RM80 satu tin, saya terpaksa meminjam wang daripada ibu yang berusia 55 tahun.
“Paling saya bimbang apabila doktor memaklumkan Nur Elyana Umairah tiada harapan untuk sembuh. Naluri seorang ibu, saya tetap mahu dia kuat dan terus melawan kanser itu,” ujarnya.
Sementara itu, Nik Nur Atiqah memberitahu, anaknya Nur Elyana Umairah perlu menjalani radioterapi sebanyak 40 kali dan orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nik Nur Atiqah Rusdi di talian 011-119 1196 atau terus ke akaun bank Bank Islam miliknya, 0301821725016.
The post Nur Elyana derita kanser pangkal otak, hanya mampu panggil mama appeared first on Kosmo Digital.