Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) tidak mahu terlalu angkuh atau berasa terlalu yakin meskipun kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini dilihat memberi momentum positif kepada gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu memilih untuk terus merendah diri dan tidak mengambil mudah sokongan rakyat yang diterima setakat ini.
Beliau berkata, ketika menghadapi PRN Negeri Sembilan, BN sendiri mengambil pendekatan sebagai ‘underdog’ (dan sentiasa diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan kedudukan semasa.
“Alhamdulillah, kita dengan penuh tawaduk. Kita tidak mahu terlalu angkuh, overconfident kerana kita masuk waktu pilihan raya di Negeri Sembilan pun dengan pendekatan underdog.
“Itu diperingatkan berkali-kali oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kita tahu di mana kita berada pada waktu itu, tetapi kita menggunakan strategi dan pendekatan yang baik,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia Madani 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan boleh dianggap sebagai momentum positif untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Zambry berkata, BN juga tidak memilih pendekatan menyerang lawan secara keterlaluan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menawarkan kestabilan dan kesederhanaan kepada rakyat.
“Kita tidak mengambil langkah-langkah dengan menyerang dan pendekatan BN dilakukan dengan cara kesederhanaan kerana kita ingin mewujudkan kestabilan yang baik. Lantaran itulah kita lihat rakyat memberikan sokongan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui keputusan pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan trend sokongan yang positif terhadap BN, namun menegaskan parti itu tidak boleh leka.
“Kita boleh lihat trend yang ada daripada Johor hinggalah ke Negeri Sembilan dan saya doakan momentum yang sama serta sokongan yang sama daripada rakyat akan berterusan kepada BN,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, BN tetap memegang janji untuk memastikan supaya Kerajaan Madani ini dapat berjalan dengan stabil dan baik sehingga ke penghujung penggal nanti.
“Jadi asas itu kita pegang. Apa pun dari segi keputusan-keputusan selanjutnya, akan dibincangkan di peringkat tertinggi BN termasuk juga di peringkat UMNO,” katanya. – UTUSAN
The post BN tidak mahu hanyut, leka kemenangan PRN Johor, N. Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.
