Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Perdana Menteri berkata dasar lama pendidikan perlu disemak agar setiap wang yang dilaburkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 membenihkan sistem pendidikan yang lebih adil, berpandangan jauh dan mampan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia sedang berubah pantas dan negara tidak boleh berpuas hati dan terperangkap dengan nostalgia lama atau terpuruk dalam perancangan silam yang mungkin sudah tidak relevan.
Beliau berkata demikian susulan perbincangan yang diadakan bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek hari ini.
“Menerima kunjungan Menteri Pendidikan bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian petang tadi bagi membincangkan strategi dan hala tuju baharu pendidikan menjelang lembaran Rancangan Malaysia Ke-13.
“Antara yang dibicarakan termasuklah pendidikan prasekolah, latihan guru dan peningkatan kemahiran di Institut Pendidikan Guru, pelaksanaan CPD sebagai wahana memperkasa tenaga pengajar serta pemantapan STEM bagi melonjakkan daya saing masa depan,” katanya dalam satu hantaran di laman X tadi.
Beliau berkata, pertemuan tersebut juga membincangkan hal berkaitan pengajian peringkat Tingkatan 6 dan matrikulasi, isu keciciran murid, permit mengajar sektor awam dan swasta.
Selain itu, turut dibincangkan keperluan menyusun semula Pelan Induk Pendidikan Negara agar lebih sejajar dengan keperluan semasa.
“Segala intipati dan iltizam yang terbit daripada perbincangan ini harus digerakkan segera secara menyeluruh, tersusun dan berani demi masa depan anak-anak, para pendidik dan ekosistem pendidikan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dasar lama sistem pendidikan perlu disemak – Anwar appeared first on Kosmo Digital.