Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA: Lebih sejuta penjawat awam memasuki norma kerja baharu apabila Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) membolehkan pegawai yang layak bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari secara bekerja dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif setiap minggu.
Berkuat kuasa 1 Ogos, dasar itu bertujuan meningkatkan fleksibiliti sistem penyampaian perkhidmatan awam tanpa menjejaskan produktiviti.
Bagi negeri yang cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad, kehadiran pejabat diwajibkan pada Isnin dan Jumaat, manakala Kedah, Kelantan serta Terengganu menetapkan Ahad dan Khamis sebagai hari wajib hadir.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa penjawat awam berpandangan kejayaan pelaksanaan HBH bergantung kepada disiplin, integriti serta keupayaan setiap pegawai memastikan komunikasi dan penyelarasan tugasan kekal berkesan.
Pegawai Unit Komunikasi Korporat sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nur’ain Nadhirah Mohd. Junaidi berkata, pelaksanaan HBH memberi keseimbangan kerana tugasan boleh disusun mengikut kesesuaian sama ada ketika berada di pejabat atau bekerja dari rumah.
Menurutnya, pengalaman bekerja dari rumah sebelum ini menunjukkan kebanyakan tugasan komunikasi seperti penyediaan bahan media sosial, reka bentuk visual, penulisan kandungan, laporan serta urusan dengan pihak berkaitan boleh dilaksanakan secara dalam talian.
“Pada saya, pengalaman itu agak positif kerana kebanyakan tugasan komunikasi boleh dilaksanakan secara dalam talian.
“Cuma cabarannya ialah memastikan komunikasi dengan pasukan sentiasa jelas dan responsif, terutama apabila melibatkan tugasan yang memerlukan maklum balas segera atau penyelarasan dengan pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata, gabungan tiga hari bekerja di pejabat dan dua hari BDR membolehkan tugasan dirancang dengan lebih teratur mengikut keperluan.
Katanya, hari bekerja di pejabat lebih sesuai digunakan untuk perbincangan, mesyuarat, percambahan idea dan penyelarasan bersama pasukan, manakala tugasan yang memerlukan fokus seperti menulis kandungan serta menyediakan bahan komunikasi boleh dilakukan ketika BDR.
Namun, Nur’ain berkata, pengalaman terdahulu ketika bekerja dari rumah turut menunjukkan beberapa cabaran, terutama berkaitan komunikasi dan mendapatkan maklum balas dalam tempoh segera.
“Perubahan paling besar ialah dari segi pengurusan masa dan perancangan kerja,” katanya.
Katanya, kelewatan membalas emel atau mesej serta kesukaran mengetahui status ahli pasukan ketika bekerja dari rumah boleh menjejaskan penyelarasan tugasan.
Sementara itu, penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Faiz Norzani berkata, pelaksanaan HBH merupakan pendekatan positif kerana memberi fleksibiliti kepada penjawat awam selain membantu menjimatkan masa dan kos harian.
Menurutnya, keberkesanan dasar itu bagaimanapun bergantung kepada skop kerja kerana tidak semua tugasan boleh dilakukan dari rumah.
Katanya, HBH mampu memberi manfaat besar dari segi penjimatan masa perjalanan, penggunaan bahan api serta perbelanjaan harian.
“Saya rasa dasar ini perlu diteruskan kerana ia memberi manfaat dari segi penjimatan masa, tenaga dan kos, selain membolehkan tugasan diselesaikan mengikut kesesuaian tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Menurut Muhammad Faiz, perkara paling penting dalam pelaksanaan HBH ialah memastikan tahap perkhidmatan awam kekal berkualiti dan tidak dipengaruhi oleh lokasi seseorang pegawai menjalankan tugas.
Bermula 1 Ogos lalu, semua penjawat awam kini boleh bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah atau lokasi alternatif menerusi Dasar Hari Bekerja sebagai sebahagian reformasi perkhidmatan awam ke arah sistem kerja lebih fleksibel.-UTUSAN
The post Dasar hari bekerja hibrid ubah norma penjawat awam appeared first on Utusan Malaysia.
