Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Empat premis perniagaan di daerah Barat Daya, termasuk dua restoran dan dua kedai runcit diarah tutup serta-merta selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan termasuk penemuan najis tikus di dapur serta rak jualan.
Penutupan itu berkuat kuasa 22 Ogos hingga 4 September ini mengikut Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.
Jurucakap Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) berkata, tindakan tegas itu diambil dalam operasi kebersihan yang dijalankan kelmarin selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis-premis terbabit berada di bawah piawaian ditetapkan.
”Antara kesalahan serius yang dikesan adalah penemuan najis tikus di kawasan stor, rak jualan, penyimpanan makanan beku serta bahagian dapur.
”Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap keselamatan makanan dan kesihatan pengguna,” katanya di sini, hari ini.
Dalam operasi sama, katanya, MBPP turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap dua premis lain yang meletakkan barang dagangan serta peralatan perniagaan di laluan awam dan kaki lima sehingga menimbulkan halangan.-KOSMO! ONLINE
The post Lagi premis diarah tutup ada najis tikus di dapur, rak jualan appeared first on Kosmo Digital.