Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Polis kini menumpukan siasatan terhadap kemungkinan wujud pengaruh komuniti atau kumpulan tertentu yang mendorong seorang remaja berusia 15 tahun menikam rakannya pada awal bulan ini, di sekolah menengah di Banting, Kuala Langat dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan ke arah itu dibuat susulan penahanan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, remaja terbabit bagaimanapun telah dibebaskan selepas siasatan mendapati tiada sebarang penglibatan atau kaitan dengan insiden tersebut.
Lokasi penahanan remaja itu bagaimanapun tidak didedahkan.
“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp atau pertukaran pandangan dan cadangan yang mungkin menjadi faktor pendorong kepada suspek.
“Ia bukan fasilitator, sebaliknya sama ada terdapat pengaruh daripada rakan-rakan atau komuniti tertentu yang mendorong suspek bertindak sedemikian,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Mengulas mengenai penyebaran nota yang dipercayai milik suspek sehingga tular di media sosial, Shazeli berkata, polis telah membuka siasatan dalaman bagi mengenal pasti bagaimana dokumen tersebut boleh tersebar.
“Nota itu merupakan antara eksibit kes. Justeru, kita sedang menyiasat bagaimana ia boleh berada di media sosial,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keadaan mangsa semakin baik dan dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lalu.
“Mangsa kini menjalani proses pemulihan di rumah dan masih belum kembali ke sekolah,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja berusia 15 tahun didakwa atas cubaan membunuh rakannya di Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat.
Majistret Maslinda Selamat kemudiannya telah memerintahkan tertuduh menjalani penilaian dan rawatan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Terdahulu, rasa tidak puas hati serta perasaan terpendam terhadap beberapa individu yang didakwa membulinya dipercayai antara faktor yang mendorong suspek bertindak menikam mangsa.
Namun, hasil siasatan awal polis mendapati dakwaan suspek berkaitan kejadian buli itu masih belum disokong dengan keterangan yang membuktikan insiden berkenaan benar-benar berlaku.
Kejadian mengemparkan itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 15 tahun itu diserang dengan sebilah pisau ketika dia hendak duduk selepas membeli roti di kantin.
Mangsa dikatakan telah ditikam sehingga 16 tikaman dengan kebanyakkan di bahagian belakang badan selain terkena pada bahagian paru-paru kiri mangsa. – KOSMO! ONLINE
The post Tikam pelajar: Siasat pengaruh komuniti sebalik insiden tikaman appeared first on Kosmo Digital.
