Auto Added by WPeMatico

TANAH MERAH – Berang dan berdendam akibat ditegur menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung, seorang remaja sanggup memukul seorang warga emas dengan sebatang cota besi hingga maut dalam kejadian di Kampung Buloh Ipoh di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, mengalami kecederaan parah pada muka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas rebah dipukul remaja terbabit.
Adik mangsa, Hasnah Ghazali, 40, berkata, sebelum kejadian, abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di sebuah bangsal berhadapan dengan kedai runcit.
Menurutnya, selepas rakannya pulang, abangnya didatangi suspek yang berusia 18 tahun sebelum mengajaknya ke belakang kedai runcit.
“Remaja terbabit tiba-tiba memukul abang dengan sebatang cota besi yang dipercayai dibeli secara dalam talian. Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki turut melalui kawasan berkenaan.
“Pukulan pada bahagian muka itu menyebabkan abang saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Forensik, Hospital Tanah Merah di sini hari ini.
Hasnah memberitahu, dia mengetahui kejadian menimpa abangnya itu kira-kira pukul 5.45 petang sebelum bergegas ke kawasan tersebut.
Menurutnya, dia mendapati bahagian muka abangnya berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa.
“Difahamkan, remaja terbabit dipercayai berdendam dengan abang saya kerana sebelum ini ada menegurnya yang banyak kali menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung,” katanya.
Menurutnya, jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang Ipoh, di sini selewat-lewatnya petang ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan laporan lanjut akan menyusul. – KOSMO! ONLINE
The post Tegur bermain motor, warga emas maut dipukul dengan cota besi appeared first on Kosmo Digital.