Auto Added by WPeMatico

MUNICH – Kepulangan Chelsea ke kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) berakhir dengan keputusan kurang baik selepas tewas 1-3 kepada Bayern Munich pada aksi sulung di Allianz Arena awal pagi tadi.
Dua gol menerusi penyerang berbisa, Harry Kane serta satu jaringan sendiri Trevoh Chalobah menyaksikan Bayern meraih kemenangan penting manakala gol tunggal Chelsea dijaringkan Cole Palmer.
Pengurus The Blues, Enzo Maresca tetap positif dengan peluang skuad kendaliannya biarpun gagal memulakan kempen UCL dengan langkah kanan menerusi keputusan mengecewakan .
“Secara keseluruhan, aksi yang ditampilkan pemain-pemain saya sangat bagus. Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik dalam tempoh 20 minit pertama apabila mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.
“Kemudian, pintu gol kami bocor sehingga membuatkan tempo permainan sedikit berubah tetapi fikiran kami masih tertumpu kepada perlawanan dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi Palmer,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menganggap gol ketiga Bayern melenyapkan semangat juang pemain-pemainnya untuk terus memberi tekanan dalam usaha mereka untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
“Kami tidak bernasib baik apabila melepaskan gol ketiga dan ia sekali lagi mengubah tempo perlawanan. Banyak perkara yang kami belajar daripada perlawanan ini dan harus diakui, kami kurang bagus,” ujar Maresca. – AGENSI
The post UCL: Kepulangan Chelsea berakhir hambar appeared first on Kosmo Digital.