Auto Added by WPeMatico

KOTA KINABALU – Seorang pakar pemeriksa dokumen forensik Dr G Linthini dari Kuala Lumpur hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
Tiba sekitar pukul 9 pagi tadi bersama pasukan peguam mewakili ibu arwah, kehadiran Dr G Linthini adalah bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan awal ke atas catatan didakwa milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Tidak lama selepas itu, pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar turut hadir untuk urusan berkaitan bahan yang diperiksa.
Pakar berkenaan difahamkan ditugaskan meneliti dan mengesahkan kesahihan bahan bertulis termasuklah dokumen peribadi, diari dan buku catatan yang dikatakan milik arwah bagi memastikan sebarang analisis psikologi terhadap tulisan Zara kelak berasaskan dokumen yang sahih.
Beliau akan menjadi saksi bagi pihak ibu Allahyarham Zara pada prosiding inkues nanti.
Dr Linthini merupakan pemeriksa dokumen bertauliah dengan pengalaman lebih enam tahun dalam mengendalikan pelbagai kes berkaitan dokumen.
Terdahulu, peguam keluarga Allahyarham Zara, Shahlan Jufri minggu lalu memaklumkan hasrat untuk melantik pakar psikologi bebas dari Kuala Lumpur bagi menilai keadaan minda arwah sebelum tragedi berlaku.
Bagaimanapun, beliau menekankan aspek psikologi hanya boleh diberi pertimbangan penuh selepas kepastian identiti dan kesahihan hasil tulisan arwah diperoleh melalui pemeriksaan forensik.- KOSMO! ONLINE
The post Pakar pemeriksa dokumen forensik hadir periksa catatan arwah Zara appeared first on Kosmo Digital.