Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Seorang peniaga yang bertindak merempuh dua penembak bermotosikal sehingga menyebabkan seorang daripadanya maut dalam kejadian di Kapar yang tular di media sosial, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, R. Ganesalingam, 49, yang memakai baju berkolar hijau serta seluar jeans biru lusuh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ganesalingam didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki K. Tinesh Kumar, 33, di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Batu 12, Jalan Keretapi Lama, Kapar antara pukul 9.46 hingga 9.47 pagi, 5 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli memohon tarikh baharu bagi laporan forensik manakala tertuduh diwakili peguam, Nathiya Kamalanathan yang menyebut bagi pihak seorang lagi peguam, V. Ayasamy.
Sebutan semula kes ditetapkan 22 April depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan mendapati kedua-dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 itu dipercayai melepaskan tembakan ke arah pemandu lori di Kampung Perepat sebelum mereka dikejar majikan pekerja terbabit sehingga ke Jalan Keretapi Lama.
Menurutnya, suspek kemudiannya melanggar motosikal tersebut apabila salah seorang mangsa mengacukan objek menyerupai pistol, menyebabkan mereka terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar. – KOSMO! ONLINE
The post Peniaga rempuh dua penembak bermotosikal dituduh membunuh appeared first on Kosmo Digital.
