Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai fokus utamanya bagi menyokong pertumbuhan serta pengembangan perniagaan usahawan bumiputera.
Pengerusinya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan tersebut penting kerana bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan pemantauan semata-mata tidak mencukupi tanpa asas R&D yang kukuh.
Malah katanya, melalui R&D juga lebih ramai usahawan dapat meningkatkan kualiti produk, menambah nilai dan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.
“Usahawan bukan sekadar memasakkan produk, tetapi mesti diperkasakan dari segi penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk.
“Asas paling penting untuk melonjakkan potensi produk usahawan ialah R&D yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan ketika melancarkan produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger di Kompleks Usahawan Mara di Batu Caves baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, pelancaran RTE Aris Burger yang kini telah menembusi pasaran kedai serbaneka 7-Eleven dan stesen minyak antara contoh kejayaan usahawan Mara hasil kerjasama strategik dalam bidang R&D.
Beliau berkata, produk itu dibangunkan menerusi kerjasama penyelidikan dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali gus membuktikan kepentingan hubungan rapat antara usahawan dan institusi pendidikan tinggi.
“Inilah inisiatif yang kita rasa amat mustahak, iaitu penghasilan produk disokong R&D melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk sektor pendidikan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Aris Burger Haris Embong, berkata pengenalan produk itu adalah respons kepada perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin pantas, khususnya dalam kalangan pengguna bandar dan keluarga bekerja.
Jelasnya, pasaran RTE di Malaysia mempunyai potensi besar, khususnya bagi produk halal keluaran PKS bumiputera yang mampu memenuhi piawaian runcit moden.
“Sebagai jenama bumiputera, kami komited membangunkan produk yang bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah berdaya saing di peringkat global,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE
The post Fokus R&D bantu usahawan kembangkan produk – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Digital.