Auto Added by WPeMatico

BESUT – Penduduk Kampung Bukit Tasik Apal di sini dilanda kebimbangan setelah kebun mereka diceroboh individu tidak bertanggungjawab bagi aktiviti mendulang emas secara haram.
Tanah kebun durian dan kelapa sawit milik penduduk kampung tersebut telah menarik minat segelintir pihak kerana dikatakan mengandungi mineral emas terutama di sepanjang anak sungai di dalam kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Apal, Ibrahim Jusoh berkata, aktiviti pencerobohan kebun mereka untuk mendulang emas emas secara haram tersebut mula dikesan pada tahun 2020 dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
“Mereka ini orang luar, bukan penduduk kampung ini dan sekitar. Mula-mula tidak ramai namun sekarang sudah semakin tidak terkawal.
“Dulu golongan ini akan lari apabila terserempak dengan penduduk kampung terutama tuan tanah. Kini mereka semakin berani dan melampau,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Bukit Tasik Apal di sini hari ini.
Ibrahim berkata, perbuatan tidak terkawal pendulang emas haram itu bukan sahaja perbuatan menceroboh malah memberi kesan negatif terhadap stuktur tanah mereka.
Beliau berkata, perbuatan mengorek tanah tanpa terkawal telah menyebabkan sebahagian kebun durian dan kelapa sawit penduduk kampung mula mengalami hakisan.
“Impak hakisan tersebut sudah mula dirasai dengan beberapa pokok durian dan kelapa sawit yang kami tanam telah tumbang baru-baru ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pendulang emas ‘hancurkan’ kebun orang kampung di Besut appeared first on Kosmo Digital.