Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Ibu kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang maut dibunuh dan ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan pernah membuat laporan polis menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam pada Selasa lalu, dua hari sebelum suaminya membuat laporan palsu mengenai kehilangan anak lelaki mereka, Tishant.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi hari ini.
“Wanita itu membuat laporan polis mengadu telah dicederakan oleh suaminya dan membawa keluar anaknya dari rumah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga,” katanya.
Kelmarin, Polis Negeri Sembilan dilaporkan menemui mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, di sini pada 24 Julai lalu, ditanam di kawasan Rompin, Jempol, petang semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira 4.30 petang susulan penahanan suspek lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kanak-kanak itu.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, lelaki itu ditahan pada pukul 12.20 tengah hari, kira-kira 10 jam selepas membuat laporan polis bahawa anak tunggalnya hilang.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan sama ada tertuduh membunuh anak tunggalnya dan menanamnya di kawasan Rompin, Jempol sebelum membuat laporan polis pada 2.15 pagi.
Menurut Mohd. Sohaimi, pihaknya tidak pernah menerima laporan daripada wanita itu yang mengatakan bahawa anak tunggal mereka didera atau dipukul oleh suspek.
“Tiada (laporan kanak-kanak dipukul oleh bapanya). Wanita itu hanya sekali buat laporan polis mengadu telah dicederakan oleh suaminya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu kanak-kanak maut dibunuh pernah dipukul suami appeared first on Kosmo Digital.