Auto Added by WPeMatico

NEW DELHI – Gesaan untuk memboikot jenama-jenama Amerika Syarikat (AS) menular ke seluruh India selepas Presiden Donald Trump mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan dari negara itu, lapor laman berita Modern Diplomacy semalam.
Protes itu disokong oleh pemimpin-pemimpin perniagaan India, penyokong Perdana Menteri Narendra Modi dan kumpulan-kumpulan yang dikaitkan dengan Parti Bharatiya Janata.
Ia menyasarkan syarikat seperti Coca-Cola, McDonald’s, Amazon dan Apple.
India yang digelar negara paling padat penduduk di dunia itu merupakan pasaran pertumbuhan kritikal bagi beberapa syarikat multinasional Amerika.
Syarikat Domino’s mengendalikan lebih banyak cawangan di India berbanding negara lain, manakala aplikasi WhatsApp milik Meta memiliki pangkalan pengguna terbesar di dunia.
Namun, pengumuman tarif baharu AS mencetuskan kempen secara online dan demonstrasi awam dengan rakyat India digesa untuk membeli barangan tempatan serta mengutamakan produk domestik berbanding asing.
Pengasas Wow Skin Science, Manic Chowdhary menyeru untuk menjadikan jenama barangan buatan India dikenali di peringkat global seperti Korea Selatan yang terkenal dalam menghasilkan makanan dan produk kecantikan.
Organisasi Jargon Swadeshi Manch yang bergabung dengan Parti Bharayatiya Janata turut mengedarkan senarai alternatif barangan buatan India serta mengadakan perhimpunan kecil di seluruh negara.
Modi pula mengatakan bahawa firma teknologi India perlu mengutamakan keperluan domestik.
Dalam pada itu, meskipun gelombang protes diadakan, AS terus mengembangkan kehadiran jenamanya di India di mana pengeluar kereta elektrik (EV), Tesla, merasmikan bilik pameran keduanya di New Delhi. – AGENSI
The post Rakyat India boikot jenama AS appeared first on Kosmo Digital.