Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Di sebalik kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 12A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan meraih biasiswa Yayasan UEM untuk melanjutkan pengajian keluar negara, tersimpan kisah kegigihan Ahmad Daniel Ahmad Shukri, 18, yang berdepan cabaran mengimbangi tuntutan akademik dengan pelbagai aktiviti di luar bilik darjah.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kuala Berang itu mengakui antara cabaran terbesar di bangku sekolah ialah pengurusan masa setelah terlibat dalam pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa yang mengakibatkan dirinya kerap meninggalkan kelas, namun tidak pernah menjadikannya sebagai alasan untuk tercicir dalam pelajaran.
Sebaliknya, Ahmad Daniel memanfaatkan setiap peluang di dalam kelas dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penerangan guru.
“Saya akan fokus dalam kelas, dengar segala yang cikgu ajar. Kalau ada yang saya tertinggal, saya akan berjumpa cikgu dan bertanya kepada rakan-rakan supaya saya dapat mengejar semula pelajaran,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Kegigihan anak sulung dari lima beradik ini tidak datang sendiri, sebaliknya diajar sejak kecil oleh ibu dan ayahnya. Lahir dan dibesarkan di Marang, Terengganu dalam keluarga sederhana dengan ayahnya seorang peniaga kecil yang menjual minuman manakala ibunya seorang suri rumah tangga, dia sering kali menemani ayah berniaga sebelum memasuki sekolah berasrama di Tingkatan 1.
Pengalaman ini membolehkan Ahmad Daniel merasai sendiri jerih perih mencari rezeki, menguatkan lagi azamnya untuk berusaha melakukan yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburi sehingga berjaya meraih kedudukan naib juara dalam pertandingan inovasi dan robotik di China pada 2024.
Malah seperti ramai rakan sekolahnya yang lain, dia menjadi hafiz 30 juzuk al-Quran ketika di Tingkatan 4, dan kini giat mengejar cita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam kejuruteraan perisian di Imperial College London.
Ahmad Daniel bersama empat lagi penerima Biasiswa Global Yayasan UEM 2026; Nicson Yap Yong Ze, Nur Fatin Afiqah Mazlan, Lee Wei He dan Balqis Syahirah Sufian semuanya hadir pada majlis penyampaian anugerah bersama Pengarah Urusan UEM Group dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM, Datuk Amran Hafiz Affifudin di ibu pejabat UEM Group pada Isnin yang lalu.
Mereka kini mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM sebelum bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan dan perakaunan ke universiti pilihan masing-masing di luar negara selepas dua tahun.
Yayasan UEM, sayap kebajikan UEM Group setakat ini telah menyediakan biasiswa kepada lebih 630 pelajar, termasuk 146 pelajar yang menerima Biasiswa Global, membolehkan mereka mengejar aspirasi akademik di universiti terkemuka seperti Harvard, Cambridge, London School of Economics, Imperial College, University of Edinburgh dan banyak lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor berkata, perjalanan setiap pelajar bermula dengan impian, tetapi untuk merealisasikan impian itu menjadi kenyataan, ia selalunya bergantung kepada sokongan daripada mereka yang mempercayainya dan disinilah peranan kami bermula.
“Kami melihat pendidikan sebagai lebih daripada sekadar laluan kepada pencapaian akademik. Ia adalah cara untuk melahirkan generasi rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post 12A+ pacu impian anak Terengganu, sasar Imperial College menerusi Biasiswa Yayasan UEM appeared first on Kosmo Digital.


