Auto Added by WPeMatico

MELAKA – “Saya termenung sekejap bila tahu anak dapat tawaran sambung belajar. Fikir juga macam mana hendak tanggung kos pembiayaan walaupun hanya di politeknik,” begitulah luahan seorang ibu, Nurafezah Kamis, 43, yang tidak menyangka anak keduanya daripada tiga beradik menerima Biasiswa Anak eKasih (BAeK) PTPTN yang sebelum ini hanya bergantung kepada pinjaman pendidikan.
Menurut wanita yang bekerja sebagai pembantu hospital itu, anaknya Muhammad Nadzrif Nazmi, 18, tidak pernah menerima sebarang biasiswa sejak di bangku sekolah lagi dan pada awalnya hanya memohon pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi melanjutkan pengajian.
“Alhamdulillah, masa dapat tahu anak dapat biasiswa memang agak terkejut juga. Perasaan bercampur-baur, sedih ada, terharu pun ada sebab tidak sangka pinjaman itu bertukar kepada biasiswa.
“Jadi bila dapat tawaran ini, memang rasa sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui pemberita pada program penyerahan surat tawaran BAeK PTPTN di rumahnya di Telok Mas, dekat sini.
Surat tawaran itu telah disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim bersama Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd. Khalid, yang turut berkunjung ke tiga lagi kediaman penerima di sekitar daerah Melaka Tengah.

Nurafezah menjelaskan, anaknya turut mengambil inisiatif bekerja sambilan sebelum menyambung pengajian bagi mengumpul wang untuk membayar yuran serta mengurangkan beban keluarga.
Sementara itu, Masayu Salleh, 43, turut meluahkan rasa lega selepas anaknya, Nurul Shahira Dharmadeydjaya, 22, menerima biasiswa berkenaan bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Sekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menurut Masayu yang bertugas sebagai pembantu penyediaan makanan di Hospital Melaka, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban kos pembelajaran anaknya yang kini berada di semester tiga.
“Lega bila dapat bantuan ini sebab dapat ringankan sedikit kos pembelajaran dia. Lepas suami kena strok, memang agak sulit untuk uruskan kewangan. Kalau hendak harapkan saya seorang memang tidak cukup,” katanya.
Katanya, suaminya, Dharmadeydjaya Sukar, 50, tidak lagi mampu bekerja selepas mengalami strok kira-kira dua tahun lalu dan hanya menerima pencen ilat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM2,000.
Tambahnya, pendapatannya sekitar RM1,800 sebulan digunakan untuk membayar ansuran rumah serta keperluan keluarga.
Sementara itu, Adam Adli berkata, BAeK PTPTN merupakan inisiatif biasiswa yang diumumkan Perdana Menteri semasa Belanjawan 2026.
Melalui pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman PTPTN diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dan mengikuti pengajian peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di IPTA yang diluluskan pinjaman PTPTN mulai 1 Januari 2026.
“Pada asalnya kita buat untuk pelajar baharu, tetapi dengan melihat data yang ada, kita mula kembangkan juga kepada pelajar yang sudah berada di institusi pengajian dan masih berbaki pengajian mereka,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini seramai 1,254 penerima telah dikenal pasti dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM20.87 juta.
The post Termenung fikir kos belajar, ibu lega anak terima tawaran BAeK PTPTN appeared first on Kosmo Online.
