Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN -Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) telah bekerjasama dengan Golog Holdings Sdn. Bhd, melalui anak syarikatnya, Gobuilders Netsoft Sdn. Bhd. (Gobuilders) yang melibatkan pelaburan sebanyak RM400 juta bagi projek pembangunan sebuah fasiliti penyimpanan sejuk beku halal bersepadu pertama di Malaysia.
Projek pembangunan Regional Halal Distribution Centre (RHDC) itu akan dibangunkan di kawasan seluas 5.422 hektar (13.4 ekar) di Bandar Enstek.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek RHDC yang dijangka mula dibangunkan selewat-lewatnya bulan depan akan dilengkapi dengan kecekapan logistik halal dengan penggunaan Teknologi Automasi, Kecerdasan Buatan (AI) dan Sistem Pengurusan Pintar.
“Ini merupakan pembinaan fasiliti yang akan menjadi tumpuan pengusaha produk halal yang terlibat dalam proses pemasaran produk halal ke seluruh dunia.
“Penggunaan teknologi semasa yang canggih akan menjadikan RHDC sebagai pusat fasiliti yang dapat memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara PKNNS dan Gobuilders di sini hari ini.
Aminuddin menerangkan, RHDC akan menjadi katalis kepada pelaburan baharu ke Negeri Sembilan, khususnya dalam kalangan pemain industri halal yang mengeksport ke negara Timur Tengah.
“Permintaan terhadap produk halal kini semakin tinggi di negara-negara Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun, dengan nilai pasaran mencecah triliun ringgit.
“Projek ini selari dengan objektif utama untuk memperkukuhkan rantaian bekalan makanan halal, meningkatkan daya saing industri, memperluas pasaran antarabangsa dan mengekalkan integriti pensijilan halal,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Bandar Enstek bakal miliki fasiliti penyimpanan sejuk beku halal bersepadu appeared first on Kosmo Digital.