Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Selepas lebih dua dekad bergiat aktif dalam dunia seni, pelakon Shaheizy Sam mengambil keputusan untuk tidak lagi melakonkan babak mesra dalam mana-mana naskhah lakonannya pada masa akan datang.
Sam atau nama lengkapnya Shaheizy Sam Abd. Samad, 42, berkata, pengalaman membintangi filem terbaharu berjudul Indera yang menjalani penggambaran empat tahun lalu merupakan kali terakhir dia menjayakan watak yang memerlukan adegan bersentuhan.
“Terus terang, saya sebenarnya tak okey melakonkan babak tersebut. Kalau sekarang disuruh buat babak macam itu lagi, saya tak akan buat.
“Empat tahun lalu, ketika terlibat dalam penggambaran itu, fikiran saya lain.
Masa itu saya fikir nak jujur dalam kerja, nak beri nampak ‘real’. Tapi sekarang, saya sedar, untuk buat babak bersentuhan seperti itu tak perlu pun,” katanya kepada Kosmo! Online pada malam gala dan sidang media filem Indera, semalam.
Tambah pelakon filem Polis Evo itu, keputusannya dibuat selari dengan perubahan cara berfikir dan kematangannya sebagai seorang individu.
“Kalau ditanya mengenai isu ini, saya cuma berlakon dan tak ada sikit rasa apa-apa pun ketika buat itu. Sebab saya tahu, benda begini boleh datangkan fitnah.
Jadi, kalau tanya mampu tak nak buat balik sekarang babak macam itu (mesra) saya tak akan buat dah.
“Bukan kita nak tunjuk ustaz ke alim. Tidak! Mungkin semakin matang. Lelaki bukankah lambat matang?,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Sam memahami perasaan isterinya yang juga pelakon, Syatilla Melvin walaupun isu berkenaan tidak pernah dibangkitkan.
Dia (Syatilla) tak perlu cakap apa-apa tapi sebagai manusia, saya faham apa yang mungkin dia rasa.
“Ya saya patut faham tapi ketika itu pemikiran kita lain. Kita mahu jujur supaya lakonan nampak seronok dan lebih hidup.
“Tapi apa saya fikir sekarang, tak perlu pun buat begitu sebenarnya,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Sam membintangi filem Indera arahan sutradara, Woo Ming Jin merupakan sebuah filem psycho-thriller berlatar belakangkan tragedi Peristiwa Memali pada tahun 1985.
Filem yang diterbitkan Greenlight Pictures, Lomo Pictures serta GSC Movies berkisarkan tentang seorang balu dan anak perempuannya yang sering mengalami ‘mysterious visions’ di sebuah kampung terpencil.
Selain Sam, filem yang turut dibintangi Azira Shafinaz, Ruminah Sidek dan Samara Kenzo akan ditayangkan di pawagam bermula 7 Ogos. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Boleh datangkan fitnah, takkan bersentuhan lagi selepas ini’ appeared first on Kosmo Digital.