Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke Doha, Qatar hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam susulan serangan Zionis Israel ke atas negara Teluk itu.
Anwar dalam satu hantaran di platform X berkata, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara esok sebagai tanda solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan biadab rejim Zionis.
“Serangan terhadap Qatar ini membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. Mereka bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya.
“Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka,” tegasnya.
Anwar berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim itu dan akan terus berdiri teguh bersama Qatar, Palestin serta seluruh dunia yang cintakan keamanan.
Katanya lagi, inilah saatnya dunia Arab-Islam dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan serta menjamin keselamatan sejagat.
“Malaysia tidak akan tunduk, tidak akan goyah, dan tidak akan berdiam diri selagi penindasan ini berterusan. Kita akan tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Anwar ke Doha, kecam keras serangan Zionis ke atas Qatar appeared first on Kosmo Digital.