Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sebanyak 56 buah kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah memulakan pelayaran dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa dalam misi kemanusiaan ke Gaza, hari ini.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) dalam satu kenyataan memaklumkan, misi ini menyaksikan penggabungan strategik di antara kumpulan flotila dari Barcelona sebanyak 40 buah kapal dengan kumpulan Itali, menjadikan jumlah keseluruhan armada kini mencecah 56 buah kapal.
“Terdapat beberapa buah kapal lagi yang kini sedang menjalani proses teknikal dan pembaikan di Pelabuhan Catania. Kapal-kapal berkenaan akan menyusul dan menyertai semula armada utama sebaik sahaja proses pembaikan disempurnakan,” kata kenyataan itu, hari ini.
Mengenai status delegasi Malaysia, SNCC melaporkan seramai 36 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada jurutera bot, kapten, pasukan perubatan, kru kapal, penganjur, dan peserta kini berada dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi untuk meneruskan fasa pelayaran tersebut.
“Pihak urus setia sentiasa memantau tahap keselamatan dan kebajikan semua kru bagi memastikan kelancaran operasi di perairan antarabangsa,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, SNCC turut memaklumkan mengenai penyesuaian tugasan melibatkan tiga orang delegasi Malaysia iaitu Nur Heliza Binti Helmi, Nur Hazwani Afiqah Binti Helmi, dan Nurul Hidayah Binti Mohd Amin berikutan beberapa kapal yang telah mengalami kerosakan teruk.
Ketiga-tiga mereka telah selamat tiba di tanah air dan akan memulakan tugas rasmi di pangkalan SNCC Sepang yang kini berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh buah negara.
SNCC menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi ini dan menggesa rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan moral serta mendoakan keselamatan seluruh armada Global Sumud Flotilla.
Orang awam dan pihak media dinasihatkan agar merujuk kepada SNCC sebagai sumber maklumat sahih bagi mengikuti perkembangan terkini misi berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post 56 kapal Global Sumud Flotilla mula berlayar dari Itali ke Gaza appeared first on Kosmo Digital.
