Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, enggan mengesahkan mahupun menafikan dakwaan bahawa dirinya kini sedang menjalinkan hubungan istimewa.
Aliff atau Mohammad Aliff Aziz, 35, berkata, dia tidak mahu isu berkenaan terus menjadi bahan perbincangan umum, sebaliknya memilih untuk memberi tumpuan kepada perkembangan kerjayanya dalam industri seni.
“Saya tidak mengiyakan atau menidakkan perkara itu. Bukan apa, kalau saya jawab nanti lebih banyak pula isu yang akan diperkatakan.
“Saya memilih untuk tidak berkongsi. Buat masa ini, saya mahu fokus kepada perjalanan kerjaya saya.
“Selebihnya, tak perlulah kita ulaskan,” katanya.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama Madu Atau Racun di A Quiet Place, Bukit Bintang, di sini, pada Selasa.
Walaupun pernah melalui episod pahit dalam rumah tangga, juara Gegar Vaganza musim kelapan itu mengakui masih percaya kepada aturan jodoh yang telah ditentukan Allah.
Katanya, pengalaman lalu tidak pernah menutup pintu hatinya untuk kembali bergelar suami sekiranya dikurniakan jodoh pada masa hadapan.
“Untuk mengatakan hati saya sudah tertutup, segala rezeki, jodoh dan ajal saya serahkan bulat-bulat kepada Allah. Saya pegang pada kepercayaan itu.
“Biar Allah yang tentukan, insya-Allah. Cuma saya belajar, kalau mahu memperoleh pasangan yang baik, saya sendiri perlu menjadi insan yang lebih baik.
“Sebab itu saya perlu fokus ke arah itu. Takkan saya mahu menghakimi orang sedangkan saya sendiri mempunyai rekod yang tidak begitu baik sebelum ini,” ujarnya.
Mengambil iktibar daripada pengalaman silam, Aliff berkata, dia kini berazam untuk terus bekerja keras dan tidak lagi dibelenggu kisah lalu.
“Alhamdulillah, saya masih diberikan kesihatan yang baik, selain ruang dan peluang untuk terus berkarya.
“Saya sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan segala beban yang saya tanggung akibat kelemahan sendiri serta menguatkan hati untuk memaafkan diri sendiri.
“Saya bukan mahu bermain sebagai mangsa. Sejak muda hingga sekarang, jika saya melakukan kesilapan, saya akan mengakuinya,” katanya. -UTUSAN
The post Aliff Aziz tidak nafi, sahkan hati sudah dimiliki appeared first on Utusan Malaysia.
