Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI PETANI – Kegiatan tiga beradik lelaki mencuri motosikal yang diletakkan di kawasan parkir luar stesen kereta api di sini terbongkar apabila mereka ditahan polis menerusi Op Lejang, baru-baru ini.
Ketiga-tiga suspek berusia 14, 15 dan 16 tahun itu merupakan antara empat ahli Geng Ventri yang diberkas, termasuk seorang pemilik bengkel motosikal berusia awal 20-an.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penahanan dibuat selepas polis menerima beberapa laporan kehilangan motosikal sebelum menubuhkan pasukan petugas khas.
Menurutnya, dua beradik berusia 14 dan 15 tahun yang masih bersekolah ditahan ketika menolak dua motosikal yang baru dicuri.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan abang mereka berusia 16 tahun serta seorang pemilik bengkel motosikal yang dipercayai terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga beradik itu mengaku menyasarkan motosikal yang tidak dikunci pada bahagian pemegang sebelum ditolak ke bengkel untuk dileraikan dan dijual sebagai alat ganti.
Katanya, polis turut merampas tiga motosikal curi serta pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan di bengkel berkenaan. Semakan mendapati semua suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, polis turut menumpaskan Geng RXZ dengan penahanan tiga lelaki berusia 25 hingga 27 tahun secara berasingan di Padang Serai minggu lalu.
Katanya, polis merampas dua motosikal Yamaha RXZ, dua enjin motosikal Yamaha RXZ dan Honda EX5, empat kulit enjin Yamaha RXZ, empat rangka motosikal pelbagai jenama serta dua mesin pemotong dengan nilai keseluruhan RM50,000.
“Sindiket itu mahir mencuri motosikal Yamaha RXZ sebelum meleraikannya di sebuah bengkel untuk dijadikan alat ganti. Semua suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah serta dadah,” katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek termasuk tiga beradik itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Tambahnya, dalam Ops Lejang sama, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan bersama magazin, sembilan bebola besi (ball bearing), sebilah kerambit dan 0.56 gram syabu selepas menyerbu sebuah rumah di Sidam Kiri.
Suspek yang mempunyai dua rekod jenayah dan sembilan rekod dadah direman untuk siasatan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357). – KOSMO! ONLINE
The post Tiga beradik ditahan giat curi motosikal appeared first on Kosmo Digital.
