Auto Added by WPeMatico

TAIPING – Sebanyak 36,000 liter minyak diesel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam satu serbuan di sebuah bengkel di Simpang di sini pada pukul 1.20 pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Ops Tiris itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Taiping.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mendapatkan minyak diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori tidak amanah yang telah mencuri minyak diesel milik syarikat tempat mereka bekerja.
“Minyak tersebut dibeli sindiket dengan harga sekitar RM2.15 seliter, kemudiannya dijual kepada pihak industri di pasaran gelap pada harga sekitar RM2.45 seliter.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 36,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki-tangki Intermediate Bulk Container (IBC) dan skid tank,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan pemeriksaan.
Sehubungan itu, beliau berkata satu tindakan kes telah diambil dengan menyita cecair disyaki minyak diesel sebanyak 36,000 liter, dua buah lori, sebuah skid tank dan 22 buah tangki IBC beserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM292,840.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bengkel jadi stor simpan 36,000 liter diesel curi appeared first on Kosmo Digital.