Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim, digantung tugas berkuat kuasa serta-merta, susulan keputusan sebulat suara Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.
Turut digantung tugas ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, berkata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali dinamakan menjalankan tugas SUK Negeri Sembilan sehingga SUK baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, notis penggantungan SUK Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, Ismail mengesahkan semua jawatan Ahli MMKN masih kekal dan sah.
Beliau berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.-KOSMO! ONLINE.
The post Mohd. Zafir digantung tugas sebagai SUK Negeri Sembilan appeared first on Kosmo Online.
