Auto Added by WPeMatico

BAYANGKAN seorang anak muda memiliki telefon pintar terbaharu, sepasang kasut berjenama dan tiket konsert, kesemuanya dalam satu petang, tanpa perlu mengeluarkan wang tunai walau sesen pun.
Adegan seperti ini semakin biasa dalam kehidupan generasi digital hari ini.
Perkembangan teknologi digital telah mengubah cara masyarakat membuat keputusan kewangan.
Jika suatu ketika dahulu pengguna perlu mempunyai wang tunai atau menggunakan kad kredit untuk mendapatkan sesuatu barangan, kini kemunculan kemudahan Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL) membolehkan seseorang memiliki barangan serta-merta dan membayarnya kemudian secara ansuran.

Pada pandangan awal, BNPL dilihat sebagai satu inovasi kewangan yang memberikan fleksibiliti kepada pengguna.
Kemudahan ini membolehkan seseorang mengurus aliran tunai dengan lebih mudah, khususnya apabila berhadapan dengan keperluan tertentu.
Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan, terdapat persoalan yang lebih besar yang perlu diberi perhatian:
Adakah BNPL membantu pengguna mengurus kewangan dengan lebih baik, atau secara perlahan-lahan sedang membentuk budaya berhutang yang semakin dianggap normal?
Cabaran utama BNPL bukan semata-mata terletak pada jumlah hutang yang terkumpul, tetapi pada perubahan cara masyarakat melihat hutang itu sendiri.
Dalam persekitaran digital hari ini, berhutang semakin mudah, pantas dan kurang dirasai kesannya pada peringkat awal.
Hanya dengan beberapa klik pada skrin telefon pintar, seseorang boleh mendapatkan barangan tanpa perlu mengeluarkan wang pada masa pembelian.
Keadaan ini mewujudkan satu bentuk ilusi kemampuan kewangan. Pengguna sering menilai kemampuan berdasarkan jumlah ansuran bulanan yang kecil, bukannya kos sebenar sesuatu pembelian sedangkan beberapa komitmen kecil yang terkumpul boleh berubah menjadi beban yang sukar dikawal.
Ilusi ini menjadi lebih ketara apabila pembayaran ditangguhkan:
Halangan psikologi untuk berbelanja menurun dan barangan yang sebelum ini dianggap sebagai kehendak mula dilihat sebagai sesuatu yang “mampu dimiliki” semata-mata kerana bayaran boleh dipecahkan kepada beberapa ansuran.
Di sinilah risiko terbesar BNPL muncul. Kemudahan ini bukan sahaja menawarkan cara pembayaran baharu, tetapi berpotensi mengubah tabiat kewangan pengguna, khususnya golongan muda.
Apabila seseorang mula terbiasa memperoleh sesuatu dahulu dan memikirkan kemampuan kemudian, hutang boleh berubah daripada satu keputusan kewangan yang perlu dipertimbangkan kepada satu gaya hidup.
Golongan Muda Paling Terdedah
Golongan muda merupakan kumpulan yang paling mudah terdedah kepada fenomena ini. Mereka membesar dalam ekosistem digital yang dipenuhi iklan, promosi segera dan tekanan sosial untuk mengikuti trend semasa.
Media sosial pula sering memaparkan gaya hidup yang menekankan pemilikan barangan, pengalaman dan imej tertentu sebagai simbol kejayaan.
Dalam keadaan ini, BNPL boleh menjadi alat yang memudahkan seseorang mengejar gaya hidup yang mungkin belum sejajar dengan kemampuan kewangan sebenar.
Lebih membimbangkan, penggunaan BNPL sejak usia muda boleh menanam persepsi bahawa hutang merupakan sebahagian daripada kehidupan biasa.
Jika tidak disertai kesedaran kewangan yang kukuh, generasi muda mungkin membesar dengan anggapan bahawa setiap keinginan boleh dipenuhi terlebih dahulu dan dibayar kemudian.
Pemikiran sedemikian berisiko melemahkan budaya menyimpan, merancang dan membuat keputusan kewangan secara berdisiplin.
Bukan Sekadar Salah Pengguna
Namun, isu ini tidak wajar dilihat semata-mata sebagai kelemahan pengguna. Tanggungjawab juga perlu dipikul oleh ekosistem kewangan digital yang menjadikan proses mendapatkan kredit semakin mudah.
Kemudahan pembiayaan perlu disertai dengan tahap ketelusan, pendidikan pengguna dan mekanisme perlindungan yang memastikan seseorang memahami implikasi setiap komitmen yang dibuat.
Literasi Kewangan sebagai Benteng
Pada masa yang sama, literasi kewangan perlu diberikan perhatian lebih serius, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pengguna perlu memahami bahawa kemampuan membayar ansuran tidak semestinya bermaksud mereka mampu membeli sesuatu barangan.
Keupayaan kewangan sebenar bukan diukur berdasarkan jumlah kredit yang boleh diperoleh, tetapi berdasarkan kemampuan mengurus pendapatan, perbelanjaan dan simpanan secara seimbang.
Pendidikan kewangan juga perlu mengubah cara masyarakat melihat kejayaan. Pemilikan barangan mahal atau kemampuan mengikuti trend semasa tidak seharusnya menjadi ukuran utama status seseorang.
Sebaliknya, kestabilan kewangan, kemampuan membuat perancangan jangka panjang dan kebebasan daripada tekanan hutang perlu dianggap sebagai bentuk kejayaan yang lebih bermakna.
BNPL bukanlah satu instrumen kewangan yang perlu ditolak sepenuhnya. Jika digunakan secara berhemah, ia boleh menjadi pilihan pembayaran yang memberikan fleksibiliti kepada pengguna.
Namun, tanpa disiplin dan kesedaran kewangan, kemudahan ini boleh menjadi pintu masuk kepada budaya berhutang yang bermula sejak usia muda.
Dalam era digital yang menjadikan pembelian semakin mudah, cabaran terbesar masyarakat bukan lagi sekadar bagaimana untuk mendapatkan sesuatu, tetapi bagaimana untuk mengetahui bila perlu berhenti sebelum keinginan hari ini menjadi beban kewangan pada masa hadapan. – UTUSAN
DR. Wahidah Shari ialah Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Institute of Shariah Governance and Islamic Finance (ISGAIF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia.
The post BNPL galak gaya hidup berhutang? appeared first on Utusan Malaysia.
