Auto Added by WPeMatico

![]()
BACHOK – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengukuhkan kedudukan sebagai antara salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka negara apabila merekodkan kadar bekerja graduan sebanyak 97.2 peratus pada tahun ini.
Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Arham Abdullah berkata, sehingga 30 September lalu, kadar kebolehpasaran graduan UMK berada pada tahap 96.7 peratus dengan 12.21 peratus daripadanya bergelar usahawan.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan UMK berada di landasan tepat menuju matlamat menjadi Universiti Keusahawanan Terunggul ASEAN menjelang 2026 dan Asia pada 2030.”UMK turut memberi peluang kepada 167 graduan kelas pertama untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) melalui ‘fast track’ tahun ini.
“Selain itu, UMK terus mencipta kejayaan membanggakan apabila melahirkan seramai 26,645 graduan sejak 19 tahun lalu penubuhan institusi pendidikan ini,” katanya ketika berucap pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UMK Ke-15 yang disempurnakan oleh Pro Canselor UMK yang juga Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra di Dewan Tuanku Canselor, UMK Kampus Bachok di sini hari ini.
Beliau berkata, UMK kini berada pada kedudukan 1501+ di dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025 dan 401 hingga 600 dalam The Global Impact Rankings 2025.
Seramai 2,968 graduan yang terdiri daripada 44 Doktor Falsafah (PhD), seorang Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA), 66 Sarjana dan 2,857 Sarjana Muda diraikan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-15 yang bermula hari ini hingga Khamis. – KOSMO! ONLINE
The post UMK rekod kadar graduan bekerja 97.2 peratus appeared first on Kosmo Digital.