Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Kerajaan akan memantau kemungkinan kewujudan kartel dalam rantaian bekalan makanan susulan ketidaktentuan geopolitik global ketika ini yang berpotensi menjejaskan harga pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pemantauan rapi itu dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atau memanipulasi harga dalam situasi semasa.
“Memang itu kita akan lihat. KPDN dan kementerian saya akan bekerja keras dalam memantau hal-hal kartel ini.
“Apa yang penting, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana bekalan masih mencukupi sehingga Mei ini,” katanya selepas melancarkan program Jualan Agro Madani (JAM) Zon Kota Raja di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat yang boleh mempengaruhi harga minyak dunia dan seterusnya kos import makanan.
“Jika harga minyak meningkat melebihi AS$100 setong, ia boleh memberi kesan kepada kos pengangkutan dan harga barangan import seperti bijian serta beras dari India, Pakistan dan Vietnam.
“Bagaimanapun, penyusunan bekalan makanan akan dibincangkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan semasa,” jelasnya.
Mohamad berkata, kerajaan akan membuat analisis semula selepas Mei ini dengan mengambil kira keadaan semasa termasuk kesan konflik terhadap rantaian bekalan makanan global.
“Kita harap perang di Asia Barat dapat ditamatkan segera. Jika perang berterusan, harga minyak akan meningkat dan memberi kesan kepada banyak sektor.
“Justeru, laporan akhir juga akan didengar termasuk daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sebelum membuat sebarang penyesuaian bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, beliau memaklumkan sebanyak 1,513 program telah dilaksanakan setakat ini dalam membantu golongan B40 khususnya di seluruh negara.
“Ia memberikan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus untuk pelbagai barangan keperluan seperti ayam segar, telur dan daging berbanding harga pasaran.
“Fokus lokasi JAM ini adalah kawasan perumahan flat dan teres dan luar bandar yang dihuni B40 dan M40,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan pantau kartel susulan konflik Asia Barat appeared first on Kosmo Digital.
