Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menunjukkan komitmen terhadap kebajikan pelajarnya apabila membantu seorang anak yatim, Muhammad Firdaus Abdullah, 19, yang akan memulakan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian.
Melalui Pusat Wakaf dan Zakat, USIM menyediakan kelengkapan pengajian, menanggung perjalanan dari Kedah ke Nilai, penginapan serta urusan pendaftaran yang dijadual pada 24 September ini.
Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, pihaknya mengambil langkah itu selepas menerima makluman mengenai rayuan pendaftaran Muhammad Firdaus yang kini menetap di Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra, Sungai Petani, Kedah.
“USIM bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan, tetapi juga memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana masalah kewangan. Kami akan terus cakna dan menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada sama, beliau turut meminta pelajar baharu dan lama yang menghadapi kekangan kewangan supaya berhubung dengan Pusat Wakaf dan Zakat atau Pusat Hal Ehwal Pelajar untuk mendapatkan bantuan.
Pada tahun lalu, USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat menyalurkan RM3.12 juta dana hasil zakat, wakaf, endowmen dan infak bagi tujuan kebajikan, kesihatan serta sokongan pembelajaran pelajar. – KOSMO! ONLINE
The post USIM bantu anak yatim, Muhammad Firdaus mulakan pengajian appeared first on Kosmo Digital.