Auto Added by WPeMatico

![]()
TANJUNG MALIM – Reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus diperkukuh di pentas antarabangsa apabila ia meraih empat pengiktirafan utama pada Anugerah Pendidikan Global 2025 yang berlangsung di Hotel Amari, Bangkok, Thailand semalam.
Acara berprestij yang menghimpunkan pemimpin pendidikan, penggubal dasar dan pemain inovasi dari seluruh Asia itu menjadi platform penting bagi meraikan kecemerlangan institusi dan tokoh pendidikan serantau.
UPSI menerima penghormatan tertinggi menerusi anugerah Excellence in Education, sekali gus menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangan universiti itu dalam memacu pembangunan pendidikan berkualiti serta inovasi akademik.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff yang turut menerima anugerah Transformational Vice Chancellor berkata, kejayaan tersebut merupakan isyarat jelas bahawa strategi pengantarabangsaan dan reformasi pendidikan yang dilaksanakan pihaknya berada pada landasan tepat.
“Pengiktirafan ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga UPSI yang sentiasa komited menjunjung nilai kecemerlangan dan memperkukuh agenda pendidikan negara. Anugerah ini bukan hanya milik individu tetapi milik keseluruhan universiti.
“Kejayaan di pentas antarabangsa ini memberi keyakinan baharu kepada UPSI untuk terus memperluas rangkaian global serta meningkatkan kolaborasi strategik dengan rakan akademik dari Asia dan seluruh dunia,” katanya hari ini.
Beliau berkata, UPSI akan terus memperhebat kerjasama rentas negara, terutamanya dalam aspek penyelidikan, mobiliti pelajar, inovasi digital dan pembangunan akademik berikutan dunia pendidikan bergerak pantas.
Selain itu, beliau berkata, pihak universiti juga perlu menjadi antara institusi yang memimpin perubahan itu.
“Pengiktirafan tersebut membuktikan kemampuan UPSI muncul sebagai universiti rujukan dalam bidang pendidikan, seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau.
“UPSI membuktikan mampu berdiri sama tinggi dengan institusi antarabangsa, malah kejayaan ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memperkenalkan inisiatif baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada UPSI tetapi juga kepada ekosistem pendidikan Asia,” katanya.
Turut mengharumkan nama UPSI ialah Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus yang menerima anugerah Outstanding Contribution to Education atas sumbangan penting dalam inovasi pedagogi, pembangunan pendidikan digital serta peranan aktif dalam kerjasama rentas negara.
Pensyarah kanan di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril pula menerima pengiktirafan antarabangsa melalui anugerah Excellence in Sports Science & Technological Innovation. – KOSMO! ONLINE
The post UPSI raih empat anugerah Global Education Award 2025 appeared first on Kosmo Digital.