Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Isu keselamatan maklumat aduan polis kini mencetuskan kebimbangan serius apabila along didakwa berupaya mengakses butiran peribadi mangsa dalam tempoh seawal 20 minit selepas laporan dibuat di balai polis.
Kebocoran maklumat berkenaan terbongkar berikutan tindakan kejam sindiket terbabit yang mengugut mahu membakar kediaman seorang pengurus restoran, Leong, 46, selepas rumah yang dibelinya secara sah sejak 14 tahun lalu menjadi sasaran ancaman simbah cat merah gara-gara tunggakan hutang pemilik asal.
Ancaman bertubi-tubi itu bukan sahaja menjejaskan ketenteraman mangsa, malah keselamatan seluruh ahli keluarga serta adik-beradiknya kini berada dalam bahaya selepas kesemua data peribadi mereka berada di tangan pihak tidak bertanggungjawab.
Mengimbas kembali kejadian, kediaman Leong disimbah cat merah kira-kira pukul 2.30 pagi pada 25 Julai lalu, namun tindakan mangsa membuat laporan polis serta mengadakan sidang media bagi menepis dakwaan berhutang sebaliknya mencetuskan kemarahan sindiket terbabit.
“Selepas sidang media, saya balik rumah dan terima mesej suara daripada nombor asing. Mesej itu baca semua nombor IC saya, alamat rumah, serta butiran adik-beradik.
“Paling mengejutkan, semalam selepas 20 minit sahaja saya selesai buat laporan polis baharu di Balai Polis Selayang, Gombak, along terus hantar WhatsApp ugut mahu bakar rumah pula,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Ivan Tan tidak menolak kemungkinan sama ada wujud penglibatan orang dalam atau sindiket berkenaan sememangnya terlalu berkuasa hingga mampu mendapatkan butiran terperinci mangsa.
“Bagaimana along boleh dapat nombor kad pengenalan, alamat terkini dan butiran keluarga dalam masa 20 minit selepas report (aduan) dibuat? Mesti ada orang dalam atau pihak tertentu yang bocorkan maklumat,” jelasnya.
Dalam pada itu, sidang media di Wisma MCA turut menyaksikan kehadiran pemilik asal rumah berkenaan, Wong, 46, yang akhirnya tampil bertanggungjawab sebagai bekas pemilik rumah tersebut.
Wong mengaku terperangkap dengan aplikasi pinjaman wang dalam talian sekitar awal Julai lalu sebanyak RM10,000 dan hanya menerima RM6,000 sahaja.
Pihak along ini dipercayai scammer (penipu) apabila tetap memeras ugut Leong, yang kini merupakan pemilik rumah itu dan menuntut sehingga RM20,000 sebelum mengurangkannya kepada RM5,000 walaupun sudah melunaskan bayaran.
“Saya tidak tahu kenapa dia mengugut Leong dengan mendakwa saya masih berhutang kepadanya. Along juga turut gunakan IC lama saya dengan alamat di rumah yang Leong duduk sekarang untuk menuntut hutang.
“Sedangkan saya dah tukar IC baru dan alamat pada IC baru juga merupakan kediaman yang saya menetap sekarang, bukan alamat rumah Leong,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post ’20 minit lepas buat laporan polis, along ugut bakar rumah’ appeared first on Kosmo Digital.
