Auto Added by WPeMatico

![]()
BAGAN DATUK – Seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) berusia 77 tahun maut setelah terjatuh ke dalam tali air di Jalan Kg. Sg. Tiang Baru, Selekoh, Hutan Melintang di sini pagi tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang ramai pada pukul 7.52 pagi.
Beliau berkata, seorang lelaki OKU berkaki palsu warga tempatan berusia lingkungan 77 tahun dilaporkan ditemui meninggal dunia setelah terjatuh dari kerusi roda miliknya ke dalam tali air Sg. Tiang.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kerusi roda milik mangsa berada di tepi tali air dan mangsa disyaki telah terjatuh ke dalam tali air tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengarahkan anggota untuk membuat pencarian di sekitar lokasi kejadian.
Shazlean berkata, pada pukul 8.40 pagi, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang menemui mayat mangsa yang terapung dan berada di bawah jambatan Sg. Tiang pada jarak dua meter dari lokasi dia terjatuh.
“Mangsa berjaya dijumpai di bawah jambatan dan dibawa keluar oleh anggota dari dalam air.
“Mangsa kemudiannya diperiksa oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hadir dan mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post OKU 77 tahun lemas jatuh tali air appeared first on Kosmo Digital.