Auto Added by WPeMatico

AMPANG JAYA – Tindakan seorang lelaki disyaki mencuri dua cermin mata jenama Oakley di sebuah pusat beli-belah, di sini, membawa padah apabila dicekup polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian sekitar pukul 5 petang itu disedari pekerja premis terbabit selepas ternampak seorang lelakj mengambil dua cermin mata sebelum bertindak berlari keluar dari kedai.
“Pengadu cuba mengejar individu itu tetapi tidak berjaya sebelum meminta rakan sekerjanya untuk mengekori lelaki tersebut dan meminta bantuan orang ramai menangkapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, hasil maklumat diterima, sepasukan polis unit kereta peronda (MPV) berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 di lokasi kejadian.
Katanya, polis turut merampas dua cermin mata yang disyaki dicuri individu berkenaan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 21 rekod lampau berkaitan narkotik (16) dan jenayah (5) selain merupakan individu dikehendaki mengikut seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya.
Tambahnya, suspek direman selama empat hari sehingga 18 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Songlap’ cermin mata Oakley, lelaki ada 21 rekod lampau dicekup appeared first on Kosmo Digital.