Auto Added by WPeMatico

![]()
LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot tidak risau dengan masa depannya di kelab itu meskipun mencatat enam kekalahan dalam tujuh perlawanan selain tersingkir daripada Piala Liga Inggeris (EFL).
Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa di Anfield awal pagi esok dikatakan merupakan salah satu perlawanan yang akan dinilai sebelum menentukan kedudukan pengendali dari Belanda itu.
Walaupun kecewa dengan keputusan terdahulu, namun Slot menyuarakan keyakinan bahawa beliau masih diberikan sepenuh kepercayaan oleh pengurusan tertinggi untuk terus mengemudi pasukan tersebut.
Bagi beliau, kekalahan demi kekalahan dialami Liverpool pada saingan musim ini turut disebabkan jadual padat yang terpaksa diharungi sehingga meletakkan pemain-pemain dalam keadaan penat.
“Jika anda semua tengok prestasi kami ketika tewas kepada Brentford, ia adalah hasil daripada bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari. Ketika itu, kami baru sahaja bertemu Frankfurt.
“Saya tahu ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan, terutamanya dalam sukan seperti bola sepak. Bagi saya, ini merupakan cabaran buat pemain untuk bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari,” katanya.
Sementara itu, beliau juga percaya penyokong-penyokong The Reds masih setia memberikan sokongan kepada pasukan meskipun mereka sudah semakin jauh daripada takhta Liga Perdana yang dikuasai Arsenal.
“Penyokong Liverpool berbeza dengan pasukan-pasukan lain kerana mereka sentiasa berada di belakang pasukan, tidak kira apa pun keputusan. Kehadiran mereka amat ditagih ketika bertemu Villa nanti,” ujar Slot. – AGENSI
The post EPL: Kemampuan Slot mula dinilai pengurusan appeared first on Kosmo Digital.