Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Jalinan kerjasama yang terjalin antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dilihat lebih penting berbanding sebelum ini berikutan kedua-dua blok kini sedang berhadapan landskap global kompleks selain dipengaruhi elemen ketidaktentuan ekonomi dan cabaran politik.
Berucap ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan lebih kukuh antara kedua-dua blok disifatkan menjadi kunci utama kepada pengukuhan kerjasama antara rantau.
Katanya, ia turut meibatkan aspek pembinaan daya tahan selain jaminan kemakmuran yang mampan untuk rakyat ASEAN dan GCC.
“Perbincangan hari ini penting bagi memastikan jalinan kerjasama itu kekal dinamik, responsif dan berimpak tinggi dan sidang kemuncak ini menjadi platform untuk memperbaharui cita-cita bersama dan menterjemahkannya kepaa kerjasama konkrit dan bermakna.
“ASEAN dan GCC mempunyai keupayaan dan tanggungjawab untuk muncul sebagai batu kestabilan dan pemacu pertumbuhan masa depan.
“Saya menantikan pertukaran pandangan bermakna yang akan membuka jalan kepada inisiatif di bawah kerjasama kita yang semakin kukuh dan berkekalan,”katanya.
Pada sidang kemuncak itu, Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah turut menyampaikan ucaptama sebagai negara Pengerusi GCC.
Tambah Anwar, sidang kemuncak ini telah dibina atas asas yang diletakkan semasa Sidang Kemuncak pertama di Riyadh pada tahun 2023.
“Kehadiran delegasi mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan antara dua rantau dan mengeratkan lagi hubungan strategik yang terjalin.
“Tema Pengerusian ASEAN oleh Malaysia iaitu Inklusiviti dan Kemampanan mencerminkan aspirasi untuk pertumbuhan yang saksama, berteraskan rakyat dan berwawasan,” jelasnya.
Kata Anwar, tema itu sejajar dengan nilai-nilai yang dikongsi oleh ASEAN dan GCC iaitu kestabilan melalui perpaduan selain kemakmuran melalui kerjasama dan ketahanan melalui tanggungjawab bersama.
“Kerangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024–2028 yang telah diterima pakai semasa sidang kemuncak pertama menyediakan pelan tindakan untuk memperdalam kerjasama merentasi ketiga-tiga tonggak utama.
“Momentum yang wujud amat menggalakkan di mana tahun 2023, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah USD130.7 bilion.
“Pelaburan juga semakin meningkat, seterusnya mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang perkongsian ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerjasama ASEAN, GCC penting hadapi ketidaktentuan ekonomi, geopolitik appeared first on Kosmo Digital.