Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bakal mencipta sejarah sebagai edisi paling mesra wanita menerusi pelbagai pembaharuan dasar yang memberi penekanan kepada penglibatan dan pembangunan atlet serta pegawai wanita.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, antara perubahan utama yang bakal diperkenalkan ialah pelaksanaan kuota wanita dalam kalangan pegawai, sukarelawan dan kontinjen negeri, selain jaminan untuk mengekalkan acara wanita meskipun tidak mencapai penyertaan minimum enam negeri.
“Ini adalah perubahan besar, satu perubahan penting untuk memastikan atlet wanita tidak lagi digugurkan hanya kerana kekurangan penyertaan negeri seperti dalam SUKMA terdahulu.
“Kita menyedari ada kekurangan bajet tetapi kita nak bantu untuk meratakan jurang penyertaan golongan wanita.
“Itu sebab kita buat peraturan baharu ini dan semua bersetuju bahawa peraturan ini perlu dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA di Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, mesyuarat turut bersetuju untuk menambah dua lagi sukan dalam kategori wajib iaitu tinju dan sofbolmenjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib meningkat kepada 30 jenis.
Menurut Hannah, keputusan itu selaras dengan perkembangan semasa kerana kedua-dua sukan terbabit telahpun dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik.
“Untuk perbincangan hari ini, satu saja faktor yang dipertimbangkan iaitu mereka merupakan Sukan Olimpik, jadi tak perlu debat, tak perlu bahas.
“Kita harus menyokong kerana kita nak ada konsistensi dalam pembangunan sukan kita supaya semua pasukan dan pelaburan yang kita ada ini boleh capai peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik,” katanya.
Sebanyak 34 sukan akan dipertandingkan dalam SUKMA 2026 yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos di sembilan daerah seluruh Selangor termasuk empat sukan tambahan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi.
Hannah turut menyeru semua kerajaan negeri agar menyediakan peruntukan yang mencukupi kepada portfolio Belia dan Sukan bagi memastikan segala dasar serta perancangan pembangunan dapat dilaksana secara menyeluruh dan berkesan. KOSMO! ONLINE
The post Wanita jadi tonggak temasya SUKMA 2026 appeared first on Kosmo Digital.