Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM: Pemain Selangor, Rizq Adam Rohizam dan wakil Sarawak, Anson Yeo Boon Xiang berkongsi kedudukan sebagai pendahulu bagi kategori individu lelaki pada hari kedua saingan acara golf Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Glenmarie Golf & Country Club, di sini, hari ini.
Kedua-dua pemain mengumpul tujuh bawah par 137 pukulan selepas melengkapkan 36 lubang, sekali gus menjadikan persaingan merebut pingat emas semakin sengit menjelang pusingan terakhir esok.
Rizq, 20, mencatat empat bawah par 68 pukulan pada pusingan kedua hari ini selepas melakukan 69 pukulan pada hari pertama manakala Anson turut mempamerkan aksi konsisten dengan lima bawah par 67 pukulan hari ini selepas mencatat 70 pukulan pada hari pertama semalam.
Maverick Chua dari Johor pula berada di tempat ketiga apabila keseluruhan mengumpul satu bawar par 143 pukulan. Pada hari pertama melakar dua bawah par 70 pukulan namun hari ini mencatat 73 pukulan.
Mengulas mengenai persembahannya, Rizq berkata, putting banyak membantunya dapat mencatat keputusan yang baik walaupun tidak berpuas hati dengan pukulan drive yang sering tersasar dari fairway.
“Hari ini saya melakukan tujuh birdie dan tiga bogey tanpa sebarang double bogey. Walaupun pukulan drive kurang menjadi, saya lega putting saya menjadi.
“Yang penting, putting saya hari ini lebih baik berbanding semalam dan saya berjaya mengawal permainan dengan baik,” katanya.
Pemain yang menuntut di Universiti DePaul Chicago, Amerika Syarikat (AS) itu berkata, dia menyasarkan gelaran juara pada pusingan terakhir esok, selain mahu membantu Selangor meraih pingat emas dalam acara individu dan berpasukan lelaki.
“Sasaran utama adalah untuk menang, namun apa yang lebih penting adalah mengekalkan konsistensi serta pelan permainan yang telah dirancang.
“Jika menang, itu satu kejayaan besar,” katanya yang pernah menjuarai Selangor Amateur dan KLGCC Club Championship tahun ini.
Dalam saingan kategori individu wanita menyaksikan wakil Perak, Wang Xin Yao berkongsi kedudukan selaku pendahulu bersama pemain Sabah, Jamie Tan Huan Ying apabila masing-masing mencatat satu bawah par 143 pukulan.
Sementara Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani dari Selangor berada di tempat ketiga dengan catatan keseluruhan 147 pukulan.
Wang yang mencatat satu bawah par 71 pukulan pada hari pertama, melakukan 72 pukulan atau menyamai par pada pusingan kedua hari ini untuk mengumpul keseluruhan satu bawah par 143 pukulan.
Sebaliknya, Jamie gagal mengekalkan rentak permainan cemerlang seperti pusingan pembukaan apabila mencatat dua atas par 74 pukulan hari ini berbanding 69 pukulan semalam.
Persaingan kategori individu wanita kini terbuka menjelang pusingan penentuan esok, dengan setiap pemain perlu mengekalkan fokus dan mengurangkan kesilapan bagi memburu peluang meraih pingat emas.
Bagi acara berpasukan lelaki pula Selangor yang diketuai Rizq terus unggul sebagai pendahulu apabila melakar catatan 432 pukulan diikuti Sarawak di tempat kedua (444) dan ketiga milik Johor (445). pukulan.
Bagi kategori wanita Perak muncul pendahulu dengan catatan 450 pukulan diikuti Selangor di tempat kedua (454) dan ketiga diisi oleh Kedah (457). – UTUSAN
The post Rizq Adam, Anson Yeo kongsi pendahulu golf SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.
