Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGKOK – Juara dunia angkat berat Indonesia, Rizki Juniansyah mencipta sensasi di pentas Sukan SEA 2025 apabila memecahkan dua rekod dunia dalam perjalanan meraih pingat emas kategori 79 kilogram (kg) lelaki di Chonburi kelmarin.
Atlet berusia 21 tahun itu mempamerkan dominasi menyeluruh apabila mencatat angkatan snatch seberat 160 kilogram (kg) sebelum melakar sejarah sebenar dalam clean and jerk dengan bebanan 205kg, sekali gus memperbaharui rekod dunia.
Bukan itu sahaja, jumlah keseluruhan angkatan 365kg turut menyaksikan Rizki memecahkan satu lagi rekod dunia, mengatasi catatan lama 363kg dan mengesahkan statusnya antara atlet angkat berat terbaik dunia ketika ini.
Rizki mengakui pencapaian tersebut menjadi titik penting dalam perjalanan kariernya, terutama dalam usaha merealisasikan impian beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
“Saya berasa terharu dan bangga, tetapi sasaran utama saya tetap Olimpik LA 2028. Saya mahu berada di sana dan bersaing di pentas tertinggi,” katanya.
Mengulas strategi perlumbaan, Rizki mendedahkan perancangan awalnya untuk memecahkan rekod dunia dalam snatch, namun nasihat jurulatih mengubah pendekatannya.
“Saya sebenarnya mahu cuba pecahkan rekod dunia snatch, tetapi jurulatih tidak benarkan dan meminta saya menyimpan tenaga untuk clean and jerk. Angkatan 160kg itu terasa lebih santai,” jelas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 itu.
Kejayaan luar biasa itu turut didorong oleh persiapan rapi dari segi fizikal dan mental, selain sokongan padu keluarga serta pasukan kejurulatihan sepanjang kejohanan.
Pingat perak acara berkenaan menjadi milik wakil Malaysia, Muhammad Erry Hidayat dengan jumlah angkatan 336kg, manakala Natthawut Suepsuan dari Thailand meraih gangsa selepas mencatat keseluruhan 335kg.– AGENSI
The post Sukan SEA: Juara Olimpik padam 2 rekod dunia appeared first on Kosmo Digital.